25 Julai 2011

Mamat-mamat Macho dan Cool di Pejabat Iqmal

Bunyi riuh deringan telefon memecah lamunan panjang Iqmal. Lamunan yang berkisarkan nasib Iqmal. Nasib yang tidak senasib seperti mamat-mamat macho dan cool di pejabat nya. Di mana mamat-mamat sebegitu sering kali mendapat tumpuan dan disorak-sorakkan. Di mana Iqmal tidak akan peroleh tumpuan sedemikian. Apa yang pasti adalah, ejekan, tohmahan dan kutukan yang dilemparkan oleh mamat-mamat macho dan cool di pejabat nya itu.

Siapa Iqmal?

Seorang skema yang bodoh-bodoh alang. Berkaca mata serta berbingkai tebal. Sering memakai seluar berposisi tinggi. Sering juga menolak-nolak kaca mata nya yang tergelincir jatuh ke paras separuh hidung. Kadang-kadang Iqmal terpaksa mengherotkan hidung untuk membetulkan kaca mata nya sehingga menampakkan raut muka yang seperti bodoh-bodoh alang itu. Lalu, Iqmal pun diejek. Diejek oleh mamat-mamat macho dan cool di pejabatnya.

Mereka tidak sedar bahawa seskema-skema Iqmal, dia juga menyimpan perasaan dendam. Dendam kesumat tiga tahun peram lamanya. Masam mencuka perasaan Iqmal. Ingin juga sesekali Iqmal mencarut. Tapi dia tahu carutan tidak membawa ke mana. Iqmal tahu bahawa dia mampu buat lebih daripada itu.

Segala ejekan harus diberhentikan. Sabar Iqmal ada batasnya. Dan kini mamat-mamat macho dan cool di pejabat Iqmal telah melampaui batas. Iqmal harus bertindak. Alangkah indahnya jika tiada gangguan dan tekanan menghantui hidup Iqmal. Mengidam juga Iqmal untuk dibiarkan sendirian. Tidak dibuli lagi.

Sepucuk revolver telah disisip ke belakang pinggang. Mana Iqmal dapat revolver tu, biarlah tak siapa yang tahu. Yang penting kali ni Iqmal nekad. Nekad untuk menamatkan segala-galanya. Dia tak akan teragak-agak untuk menggunakan revolver keluaran Taurus bermodelkan 605 .357 Magnum itu. Tiada kesangsian lagi yang berlegar-legar dalam ruangan minda Iqmal. Dengan bertemankan sepucuk revolver, Iqmal mampu miliki segala-galanya.

Awal Iqmal tiba di pejabat hari ni. Hari yang penting bagi dia. Hari penamat segala-galanya. Bila tiba masa yang dinantikan, Iqmal akan menarik picu.

"Hoi skema, kejap lagi pergi buatkan kopi untuk aku. Tak nak yang 3 in 1 punya. Aku nak kau buat fresh. Blend biji kopi tu lepas tu tapis elok-elok. Buat jangan manis sangat. OK tak skema? Kah kah kah!" arah ketua mamat macho dan cool.

Masa yang dinantikan telah tiba.

Iqmal bangun dengan pantas lalu dia karate meja kerja nya hingga terbelah dua.

"Sudah! Sudah! Aku dah tak sanggup lagi diperlakukan sedemikian!" Jerit Iqmal. Ramai yang terkejut termasuk lah aunty cleaner, Miss Moga.

Pelepowww! Pelepowww!

Dua butir peluru dimuntahkan ke arah ketua mamat macho dan cool. Terpelanting dia ke belakang akibat terjahan peluru itu. Dua butir hinggap di dadanya. Darah memercik keluar dan dia menggelepur rebah ke karpet pejabat. Kotor karpet pejabat dibuatnya dan pasti meninggalkan kotoran degil. Nyawa nya melayang di situ.

Seorang lagi mamat macho dan cool terkejut dengan kejadian itu. Dia cuba mengambil tindakan. Dia berlari meluru ke arah Iqmal. Iqmal melepaskan satu lagi tembakan...

Pelepoww!! Peeunngg!!

Bunyi ricochet peluru akibat daripada tembakan Iqmal yang tersasar. Mamat macho dan cool itu tadi semakin menghampiri Iqmal. Iqmal melepaskan satu lagi tembakan...

Pelepoww!!

Tepat ke kepala mamat macho dan cool itu. Bersepai kepalanya apabila peluru yang ditembak tadi menembusi tengkorak. Putih mata nya dan melutut dia jatuh ke bumi. Mati dengan pantas.

Mamat yang terakhir masih ada di dalam pejabat. Iqmal tidak akan berhenti selagi ada dendam di hati. Iqmal tahu mamat itu masih berada di cubical nya. Menyorok kerana tahu kesalahan nya yang suka membuli Iqmal. Tapi kini dia tahu sudah terlambat. Hanya tawakal dan doa sahaja yang menemani nya ketika ini.

Iqmal menghampiri cubical mamat macho dan cool yang terakhir itu. Revolver nya masih melekat di tangan umpama sudah bergam di situ. Diacukan ke arah cubical mamat macho dan cool itu. Iqmal bertemu dengan mangsa terakhirnya. Bercangkung menyorok di bawah meja kerja. Mengigil ketakutan. Menangis mengenangkan nasib.

"Kenapa kau buat kitorang macam ni?!" soal mamat macho dan cool terakhir itu.

"Kenapa lu orang buat Iqmal macam ni? Itu soalan yang patut kau tanya," jawab Iqmal. Dan kini, dia tampak cool.

Pelepoww!! Pelepoww!!!

Lamunan Iqmal terhenti. Bunyi riuh deringan telefon memecah lamunan panjang Iqmal. Lamunan yang Iqmal harapkan menjadi kenyataan.

"Hoi skema, termenung panjang nampak. Teringatkan awek lama ke? Eh, macam salah soalan je aku tanya. Kah kah kah," ejek mamat macho dan cool di pejabat Iqmal.

Ternyata belum menjadi kenyataan.

1 ulasan: